Wednesday, January 25, 2012

SEJARAH SEKOLAH



SEJARAH SEKOLAH  
      Pada awal tahun 1963,  penduduk-penduduk Kampung Ladang Baru,Kampung Luagan dan Estate (sekarang dikenali sebagai Samaha Estate) bermesyuarat tentang masalah pelajaran anak-anak mereka.  Anak-anak mereka terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi sungai Lawas untuk bersekolah ke Sekolah Dato Pengiran Haji Matusin (sekarang SRK Pusat) sejauh 5 kilometer.  Memandangkan masalah perhubungan, penduduk-penduduk kampung tersebut telah bersetuju untuk bergotong-royong membina sebuah sekolah di Kampung Ladang Baru kerana tempat ini adalah sebagai pusat ketiga-tiga kampung.  Dengan kerjasama yang diberi oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Daerah Lawas pada masa itu penduduk kampung telah bekerja kuat membina sekolah tersebut.  Mereka mendapat papan dan dinding daripada sebuah rumah Kastam Kuala Lawas  yang sudah lama dan tidak digunakan lagi.  Perkakas dan alat lain mereka dapatkan daripada derma orang-orang kampung itu untuk membeli kayu, paku dan zink untuk atap.  Pembinaannya dibuat secara gotong-royong oleh semua penduduk kampung-kampung tersebut dengan percuma pada pertengahan tahun 1963 dan telah siap pada akhir tahun.  Perasmian sekolah tersebut telah diadakan pada bulan Disember 1963 oleh Setiausaha Majlis Daerah Lawas, En. Wong Teck Chong.  Pada hari tersebut penduduk kampung mengadakan Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran.  Sekolah ini mulai berfungsi pada 13.01.1964 dengan 30 orang murid Darjah Satu dengan Guru Besar, En. James Wong.

No comments:

Post a Comment